Inspirasi Ramadhan:
Alhamdulillah, Ya Allah
Jam
digital di tanganku menunjukkan angka lima tiga puluh. “Ah,masih ada dua jam
lagi untuk berbuka puasa.” Getus hati kecilku.
Hari
ini hari Ahad, aku tidak keluar dari rumah kerana cuaca di luar agak panas. Aku
bungkam seketika. Otakku ligat berfikir tentang apa yang patut aku lakukan sekarang.
Tadi sudah kuhabiskan membaca surah An-Nahl yang mempunyai 128 ayat. Surat ini dinamakan An Nahl yang bererti lebah kerana
di dalamnya, terdapat firman Allah s.w.t. ayat 68 yang ertinya : "Dan
Tuhanmu mewahyukan kepada lebah."
Lebah
adalah makhluk Allah yang banyak memberi manfaat dan kenikmatan kepada manusia.Di
dalam surah ini juga banyak disebut tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan
Allah untuk kita,hamba-hambaNya.
Tiba-tiba
aku terpandang komputer ribaku yang terletak di atas meja. Lantas aku melipat
telekungku dan aku terus menekan butang kecil berwarna kelabu untuk
menghidupkannya. Agenda aku adalah untuk membuka ‘facebook’ dan melihat jika
ada sesuatu yang bermanfaat yang boleh kutemui di laman sosial popular itu.Jari-jemariku
lincah mengendalikan tetikus dan sekali-sekala menekan butang kekunci di
hadapanku.
Sedang
khusyuk aku melihat kiriman yang terbaru, aku terpaku dengan satu perkongsian
daripada salah seorang sahabatku. Perkongsian itu benar-benar membuatku aku
tersentak. Ya Allah, aku bertahmid dalam hati. Tanpa kusedari,air jernih
mengalir di pipiku.
Seorang ulama’ Arab menitiskan air
mata apabila seorang saudara kita daripada Somalia bertanyakan soalan ini
kepada beliau,”Apakah puasa kami akan diterima jika kami berpuasa tanpa
bersahur dan berbuka?”
Petang
itu, aku membeli juadah berbuka sekadar untuk mengisi perut kosongku ini. Tidak
mahu membazir. Kalau makan berlebihan waktu berbuka akan membuatkan aku
mengantuk ketika mengerjakan ibadah sunat tarawih.
Bila
teringat kembali peristiwa tadi, aku bersyukur yang teramat kerana masih boleh
berbuka dengan makanan. Aku teringat gambar yang dilampirkan dalam perkongsian
itu. Badan anak-anak kecil itu ibarat tulang yang hanya dibaluti oleh kulit
yang tipis menggambarkan bahawa betapa susahnya mereka mahu menjamah makanan
walaupun sepotong roti.
Ramadhan
kali ini mengajar aku bahawa ada lagi saudara-saudara kita yang jauh berkali
ganda lagi susah daripada kita. Walaupun aku termasuk dalam kategori orang yang
susah, namun tak pernah aku kebuluran. Alhamdulillah ya Allah.
Katakanlah,”Siapakah
yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah,”ALLAH,”
dan sesungguhnya kami atau kamu(orang-orang musyrik), pasti berada dalam
kebenaran atau kesesatan yang nyata.
(Surah Saba’
ayat : 24)
hak cipta terpelihara oleh JALILATUL NIKDAR BINTI MUSTAPA.2012.