CERITERA HIDUPKU

CERITERA HIDUPKU

Tuesday, August 23, 2011

CORETAN BUAT DIRIKU YANG ALPA


Diriku,
Semakin hari dirimu semakin dewasa,
Semakin hari dirimu akan melalui hari-hari yang penuh warna,
Kadangkala sungguh indah dan berwarna-warni,
Kadangkala warna yang suram lagi pudar,
Jalan yang kau tempuhi semakin hari semakin berliku,
Semakin memerlukan banyak kekuatan dan pengorbanan,
Namun, janganlah kau bersedih hati atau berputus asa,
Kau tahu yang kau tak akan pernah bersendirian,
Allah sentiasa ada untuk mendengar segala luahan hatimu,
Allah sentiasa ada sebagai tempat pergantunganmu,
Setiap kali kau merasakan dirimu memerlukan kekuatan,
Mohonlah kepada-Nya,
Setiap kali dirimu ingin menangis kerana payahnya ujian yang kau lalui,
Menangislah kepada-Nya,
Kerana masakan Dia menurunkan ujian kepadamu
Jika Dia tahu yang kau tidak mampu menanggungnya,
Mungkin ujian yang diturunkan-Nya akan mengajarmu untuk terus berharap dan bergantung kepada-Nya,
Diriku,
Masih ada banyak perkara lagi yang belum kau lalui dalam hidup ini,
Sentiasalah bersiap sedia dalam menghadapi segalanya,
Setiap benda yang terjadi kepada kita adalah perkara yang terbaik yang telah Allah aturkan untuk kita,
Mungkin kita merasakan sesuatu itu buruk untuk kita tetapi Dia yang lebih tahu segalanya,
Janganlah kau mengeluh dalam hidup ini,
Sentiasalah bersyukur dan bersyukur,
Itulah tanda dirimu redha atas segalanya,
Sebagai seorang manusia,
Diri ini sentiasa merasa lemah dan tidak berdaya,
Hakikat sebagai seorang hamba memang begitu,
Kerana itu sentiasalah meminta pertolongan Allah dalam menghadapi hidup ini,
Sentiasalah mengharapkan keredhaan-Nya dalam setiap perbuatan kita,
Diriku,
Janganlah dirimu tergoda pada hasutan dunia dan syaitan,
Kita telah diberikan segala pedoman,
Al-Quran dan Hadith,
Janganlah kita lupa untuk berpegang teguh kepadanya,
Duhai diriku yang sentiasa lupa,
Carilah keredhaan Allah walau apa pun yang terjadi,
Sedarlah diriku,
Pengakhiran kita nanti adalah di hadapan Allah,
Adakah amalan atau dosa yang akan kita bawa untuk menghadap-Nya?
Adakah syurga atau neraka yang menjadi destinasi terakhir kita?
Adakah nikmat atau azab yang akan kita terima kelak?
Sedarlah diriku…
Sedarlah diriku…
Sedarlah diriku…

No comments:

Post a Comment