CERITERA HIDUPKU

CERITERA HIDUPKU

Wednesday, August 1, 2012

CERITA PENDEK


Inspirasi Ramadhan:
Alhamdulillah, Ya Allah

Jam digital di tanganku menunjukkan angka lima tiga puluh. “Ah,masih ada dua jam lagi untuk berbuka puasa.” Getus hati kecilku.
Hari ini hari Ahad, aku tidak keluar dari rumah kerana cuaca di luar agak panas. Aku bungkam seketika. Otakku ligat berfikir tentang apa yang patut aku lakukan sekarang. Tadi sudah kuhabiskan membaca surah An-Nahl yang mempunyai 128 ayat. Surat ini dinamakan An Nahl yang bererti lebah kerana di dalamnya, terdapat firman Allah s.w.t. ayat 68 yang ertinya : "Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah."
Lebah adalah makhluk Allah yang banyak memberi manfaat dan kenikmatan kepada manusia.Di dalam surah ini juga banyak disebut tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah untuk kita,hamba-hambaNya.
Tiba-tiba aku terpandang komputer ribaku yang terletak di atas meja. Lantas aku melipat telekungku dan aku terus menekan butang kecil berwarna kelabu untuk menghidupkannya. Agenda aku adalah untuk membuka ‘facebook’ dan melihat jika ada sesuatu yang bermanfaat yang boleh kutemui di laman sosial popular itu.Jari-jemariku lincah mengendalikan tetikus dan sekali-sekala menekan butang kekunci di hadapanku.
Sedang khusyuk aku melihat kiriman yang terbaru, aku terpaku dengan satu perkongsian daripada salah seorang sahabatku. Perkongsian itu benar-benar membuatku aku tersentak. Ya Allah, aku bertahmid dalam hati. Tanpa kusedari,air jernih mengalir di pipiku.
Seorang ulama’ Arab menitiskan air mata apabila seorang saudara kita daripada Somalia bertanyakan soalan ini kepada beliau,”Apakah puasa kami akan diterima jika kami berpuasa tanpa bersahur dan berbuka?”
Petang itu, aku membeli juadah berbuka sekadar untuk mengisi perut kosongku ini. Tidak mahu membazir. Kalau makan berlebihan waktu berbuka akan membuatkan aku mengantuk ketika mengerjakan ibadah sunat tarawih.
Bila teringat kembali peristiwa tadi, aku bersyukur yang teramat kerana masih boleh berbuka dengan makanan. Aku teringat gambar yang dilampirkan dalam perkongsian itu. Badan anak-anak kecil itu ibarat tulang yang hanya dibaluti oleh kulit yang tipis menggambarkan bahawa betapa susahnya mereka mahu menjamah makanan walaupun sepotong roti.
Ramadhan kali ini mengajar aku bahawa ada lagi saudara-saudara kita yang jauh berkali ganda lagi susah daripada kita. Walaupun aku termasuk dalam kategori orang yang susah, namun tak pernah aku kebuluran. Alhamdulillah ya Allah.
Katakanlah,”Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah,”ALLAH,” dan sesungguhnya kami atau kamu(orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau kesesatan yang nyata.
(Surah Saba’ ayat : 24)


hak cipta terpelihara oleh JALILATUL NIKDAR BINTI MUSTAPA.2012.

No comments:

Post a Comment